Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri yang kaya dengan sejarah, khazanah budaya dan alam semulajadi yang masih terbuka luas untuk diterokai. Salah satu khazanahnya adalah seni binaan yang menjadi kebanggaan dan simbul keteguhan umat Islam ini. Masjid bukan sahaja menjadi tempat ibadat tetapi juga dapat menonjolkan perpaduan, warisan budaya setempat serta kesenian umat Islam. Walaupun terdapat garis panduan dalam pembinaan masjid, ianya bukan halangan bagi pereka menonjolkan keunikan dan keistimewaan dalam mereka cipta senibina yang menarik dan menawan.
Senibina masjid sememangnya menjadi satu tarikan pelancongan yang tidak dapat dinafikan kuasa magnetnya. Lihat sahaja Masjid Biru di Istanbul, Turki yang sentiasa dikunjungi umat Islam mahupun bukan kerana keindahan senibinanya. Di Perak, masjid-masjid indah tersergam bukan sahaja Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar namun dibina di seluruh negeri. Kecantikan sesebuah masjid tidak hanya menarik hati jemaah namun menggamit minat para pelancong.
Keindahan Dan Keunikan Masjid Di Perak
Masjid Ubudiah
Masjid Ubudiah ialah sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak yang dianggap salah satu masjid terindah di Malaysia dan merupakan simbol kebanggaan, perpaduan, kemakmuran dan kekuatan umat islam di negeri Perak. Masjid yang indah ini terletak di sebelah kawasan permakaman Di Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Masjid ini dibina di atas permintaan Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 (1887-1916) kerana menunaikan nazar baginda.

Tugas dalam membuat pelan rekabentuknya telah diberikan kepada Hubbeclk yang merupakan seorang arkitek kerajaan pada masa itu manakala tugas melaksanakan bangunan itu pula diserahkan kepada Caufield yang merupakan ketua jurutera Negeri Perak ketika itu. Pada hari Jumaat 26 September 1913, Sultan Idris Murshidul Azam Shah telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Pembinaan masjid tergendala beberapa tahun kerana kerosakan ketul-ketul marmar di tempat simpanannya yang telah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Sultan Idris dan Raja Chulan.
Pesanan batu marmar yang baru dari Itali tergendala akibat tercetusnya Perang Dunia Pertama, sehinggalah 1917 barulah masjid yang terindah di negeri Perak itu dengan rasminya dibuka oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah iaitu Sultan Perak yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916. Perbelanjaan pembinaan Masjid Ubudiah pada ketika itu dianggarkan dalam sekitar RM200 000. Masjid yang indah ini terletak di sebelah kawasan permakaman Di Raja Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Masjid Ihsaniah Iskandariah
Masjid Ihsaniah Iskandariah yang unik dan istimewa ini terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar. Masjid Ihsaniah Iskandariah ini dibina pada tahun 1936. Pembinaannya telah dibiayai oleh Al-Marhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-30.
Papan plak perasmian yang diperolehi di masjid ini mencatatkan majlis perasmian telah berlangsung pada hari Jumaat 10 Zulhijjah pada tahun 1356H bersamaan 11 Februari 1938. Keunikan masjid ini dapat dilihat pada reka bentuk binaannya yang menyerupai seperti sangkar burung. Istimewanya masjid dua tingkat ini ialah keseluruhan dindingnya dibuat daripada buluh minyak yang dianyam dipanggil “dinding tepas atau tepus” kehalusan seni anyaman tangan kelarai bermotif pengaruh ‘arabes’ pada dinding masjid menimbulkan nilai estetika bangunan menjadi tarikan utama kepada siapa yang memandang.
Terdapat 20 tingkap berdaun dua yang dihiasi ukiran “tebuk terus, tidak silat” bermotif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang. Bumbung masjid ini juga sangat unik kerana tidak mempunyai tebar layar menyebabkan kelihatan seperti bumbung rata yang tidak terpengaruh dengan bumbung Istana Kenangan yang mempunyai ‘satah’ kecerunan yang sangat ketara.
Masjid Tinggi
Masjid Tinggi adalah sebuah masjid istimewa di Bagan Serai, Perak. Bagan Serai adalah merupakan penempatan suku kaum Banjar yang terbesar di Malaysia sehinggakan terdapat Persatuan Banjar Semenanjung Malaysia berpusat di daerah ini. Tidak syak lagi masjid ini dibina oleh suku kaum tersebut pada sekitar tahun 1890 an. Masjid ini juga telah dirasmikan oleh Paduka Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah Ibni Almarhum Sultan Idris Rahmatullah Shah (1918 – 1938) pada tahun 1923. Masjid ini mempunyai rekabentuk yang amat menarik dan telah dibaik pulih oleh pihak Muzium. Namun, masjid ini kini tidak lagi digunakan dan telah dijadikan warisan negara oleh pihak Muzium. Masjid yang baru telah dibina dan terletak di sebelah Masjid Tinggi ini.

Masjid Panglima Kinta
Masjid Panglima Kinta ini pula dibina oleh Dato’ Panglima Kinta sempena memperingati isterinya yang telah meninggal dunia. Masjid ini juga dikenali dengan nama ‘Masjid Tengah’. Ia terletak di Jalan Masjid, Ipoh iaitu di tepi tebing Sungai Kinta dan berdekatan dengan Jambatan Sultan Iskandar. Melihat bangunan masjid ini, ia telah direkabentuk dengan menggabungkan senibina Mogul dan Neoclassical. Ia memiliki dua menara, anjung dan kubah batu di sebelah timur. Menurut catatan sejarah, masjid ini yang pertama sekali didirikan di Ipoh iaitu pada tahun 1898 Masihi.

Masjid Sultan Alang Iskandar Shah
Masjid Sultan Alang Iskandar Shah ini boleh diziarahi di Kampung Datuk Seri Kamarudin, Setiawan, Daerah Manjung. Bangunan masjid yang berkonsepkan Timur Tengah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Dr. Nazrin Shah pada 24 Ramadan 1424 Hijrah bersamaan 19 November 2003 Masihi. Masjid ini mempunyai gerbang berulang yang mendominasi sekeliling bangunan. Kubah berbentuk topi dibina diiring dua buah menara di kiri dan kanan. Rupa bentuk masjid ini menekankan kesederhanaan, tetapi tetap kelihatan indah dan menarik.
