Kampung Kuak 30 km dari Bandar Kuala Kangsar dan merupakan sebuah perkampungan kecil yang wujud sebelum kemerdekaan Malaysia lagi. Kampung ini terletak dalam daerah Lenggong dan berada di tengah-tengah kawasan di antara Bandar Kuala Kangsar dan Pekan Lenggong. Pekan Lenggong juga terletak tidak jauh dari Kampung Kuak iaitu kira-kira 15 km.
Jika pengunjung pertama kali ke sini, pastinya pengunjung dapat membuat gambaran awal tentang kehidupan penduduk kampung dengan melihat aktiviti harian mereka pada awal pagi. Pengunjung dapat melihat pelajar-pelajar berjalan kaki menuju ke sekolah, kaum lelaki pula mula bergerak ke kebun getah, manakala kam wanita menyibukkan diri dengan tugasan rumah seperti menyapu halaman dan sebagainya. Rumah-rumah kayu masih lagi tetap teguh berdiri di kampung ini. Seni bina yang berukiran flora ini merupakan salah satu ciri rumah kampung yang terdapat di Kampung Kuak.
Berdekatan dengan Kampung Kuak, terdapat sebuah muzium prasejarah. Muzium Arkeologi Lenggong merupakan muzium prasejarah pertama Malaysia yang telah menempatkan rangka ‘Perak Man’ di mana rangka tersebut merupakan rangka manusia pertama yang mempunyai kecatatan fizikal. Di muzium ini juga, terdapat banyak artifak seperti barang kemas dan juga barang gangsa dan disertakan maklumat untuk pengetahuan para pengunjung yang melawat.
Keistimewaan Kampung Kuak ialah terletak pada masakan ikan pekasam. Ikan pekasam di sini sangat terkenal di kalangan penduduk sekitar sehingga lah ke Kuala Lumpur. Terdapat beberapa penduduk di sini yang menjalankan perniagaan pembuatan ikan pekasam ini secara serius dan memasarkan barangan jualan mereka di dalam negara.
Jalinan hubungan persahabatan antara kampung.
Perkampungan di sekitar Kampung Kuak tidak banyak beza dengan kampung ini kerana mereka juga menjalankan aktiviti seharian yang hampir sama dengan penduduk di Kampung Kuak. Disebabkan kedudukan kampung ini berdekatan, maka tidak hairanlah mereka mempunyai ikatan silaturahim yang kuat.
Antara kampung yang berdekatan sekita Kampung Kuak adalah Kampung Kelantan, Kampung Bukit Berapit, Kampung Lata Papan, Kampung Danglang dan beberapa kampung lain. Hubungan antara kampung sangat akrab dan sentiasa di jaga. Untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk sekitar kampung mereka banyak menjalankan aktiviti yang dapat disertai antara kampung.