Aktiviti-aktiviti yang melibatkan sungai adalah seperti bermandi-manda, berkelah dan sebagainya merupakan salah satu aktiviti riadah bersama keluarga yang menjadi pilihan ramai pada hujung minggu. Ini kerana ianya merupakan salah satu aktiviti yang menarik di mana seisi keluarga dapat meluangkan masa mandi bersama sambil berkelah atau melakukan aktiviti barbeku. Bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama-sama malah dapat mengeratkan hubungan silaturrahim bersama keluarga tersayang.
Selain itu, dalam masa yang sama anda dapat menikmati kebesaran tuhan dengan melihat kehijauan alam sekitar dan secara automatik dapat lari sebentar dari hiruk-pikuk di kota. Namun tahukah anda terdapat satu risiko utama bagi aktiviti mandi-manda di sungai iaitu kepala air.
Sudah sering kali kita melihat berita tentang kehilangan orang tersayang akibat kepala air semasa sedang bergembira mandi sungai bersama keluarga. Tak dinafikan juga bahawa sesungguhnya ajal maut di tangan tuhan dan setiap yang hidup telah ditentukan masa dan cara untuk mati. Namun yang sebenarnya kematian akibat kepala air boleh dielakkan jika kita tahu caranya.
Apa yang dimaksudkan dengan kepala air dan bagaimana ia boleh berlaku?
Kepala air atau dikenalikan sebagai sumber sungai yang bermaksud gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Lazimnya, ia berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai. Maksudnya, kepala air adalah air besar yang datang secara tiba-tiba akibat hujan yang turun di hulu sungai. Semasa anda sedang bermandi-mandi, kawasan hulu sungai sedang dilanda hujan lebat lalu menyebabkan air sungai naik dan menjadi deras lalu datang kepada anda secara tiba-tiba.
Kenapa kepala air berbahaya dan boleh menyebabkan kematian?
Kepala air adalah sangat berbahaya dan boleh menyebabkan kematian kerana ia datang secara tiba-tiba tanpa sempat orang ramai yang sedang bermandi-manda naik ke tebing untuk menyelamatkan diri. Kepala air datang dalam arus yang deras dan boleh menghanyutkan orang dewasa dalam sekelip mata, inikan pula anak kecil. Malah kepala air bukan arus deras yang datang secara tiba-tiba semata-mata.
Kepala air juga membawa semua keladak, batu, ranting kecil, malahan kayu balak. Kesemua ini ada di dalam arus deras yang datang secara tiba-tiba itu. Jika anda sedang mandi di kawasan yang dilalui oleh kepala air, anda bukan sahaja akan dilanda oleh arus besar secara tiba-tiba malah anda juga akan dihentam oleh objek keras dan besar yang ada di dalam arus tersebut.
Anda mungkin akan mati dengan serta-merta akibat daripada hentakan batu di kepala atau akibat cedera parah setelah dilanggar oleh kayu balak yang bersaiz sebesar pemeluk lelaki dewasa. Tidak semestinya anda mati akibat lemas. Apabila kepala air berlaku sangat bahaya kepada anda yang berada di sekitar sungai.
Terdapat banyak kes yang berlaku sejak akhir-akhir ini di mana mangsa yang hilang dihanyutkan kepala air langsung tidak dijumpai walau pun usaha mencari gigih dilakukan oleh pasukan penyelamat. Ini kerana arus kepala air adalah sangat kuat dan boleh menyebabkan tubuh badan atau mayat hanyut ke kawasan yang lebih jauh daripada sangkaan manusia atau mungkin juga tersangkut pada kawasan atau bahagian yang tidak dijaga.
Bagaimana cara mengesan kepala air?
Kebiasaannya kepala air tidak berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran. Namun kita mungkin tidak sedar akan tanda amaran yang telah diberikan oleh alam. Di antara tanda yang biasanya berlaku sebelum datangnya kepala air adalah seperti berikut:
- Keadaan langit yang gelap di bahagian hulu sungai. Kawasan anda sedang bermandi-mandi mungkin cerah dan terang-benderang namun apabila anda lihat ke hulu sungai atau puncak bukit, anda akan perasan bahawa kawasan tersebut sangat gelap dan mendung.
- Kedengaran bunyi guruh disertai kilat di bahagian hulu sungai atai atas bukit. Semasa bermandi-manda, jangan lupa untuk melihat sekeliling. Jika sesekali anda terdengar bunyi guruh atau terlihat kilat, tiba masa untuk anda keluar dari sungai dan segera berkemas untuk mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
- Satu lagi tanda kepala air ialah anda akan mendengar dentuman gerakan batu-batan atau air dari hulu sungai. Bunyi batu yang bergerak menuruni sungai adalah kuat dan tak mungkin anda tidak menyedarinya.
- Air sungai menjadi berbuih dan meningkat secara tiba-tiba.Kalau tiba-tiba air sungai yang tadinya jernih tiba-tiba berbuih dan dalam masa yang sama paras sungai menaik, jangan buang masa lagi. Ia adalah tanda bahawa ada arus deras yang sedang menuju ke arah anda. Jauhkan diri dari tebing sungai. Tinggalkan barang anda jika keadaan memaksa.
- Kelihatan kelodak, daun reput atau ranting kayu hanyut dan terapung di permukaan air.
Apa yang anda perlu lakukan?
Anda dinasihatkan sebaik sahaja anda melihat tanda-tanda yang disenaraikan tadi segera keluarkan anak-anak dari sungai dan jauhkan diri daripada tebing sungai. Bawa ahli keluarga anda keluar dari kawasan tersebut secepat yang mungkin kerana anda tidak tahu berapa besar kepala air yang sedang menuju ke arah anda. Mungkin kepala air yang datang cuma kepala air yang kecil dan melimpahi tebing sungai.
Namun tak mustahil kepala air yang datang adalah dalam skala yang besar dan boleh membanjiri seluruh kawasan termasuk kawasan anda berkhemah. Oleh itu keluar daripada kawasan tersebut dengan secepat yang mungkin.
Satu lagi nasihat kami ialah elakkan daripada bermandi-manda dan berkelah di sungai pada musim tengkujuh. Ini kerana pada musim tengkujuh hujan akan turun tanpa di sangka dan hujan yang turun juga biasanya sangat lebat lalu boleh menyebabkan berlakunya kepala air yang boleh meragut nyawa.
Itulah informasi tentang kepala air yang dikongsikan kepada anda. Semoga bermanfaat buat anda. Yang paling penting utamakan keselamatan anda dan keluarga.