Durian sememangnya merupakan raja buah yang sangat popular dalam kalangan masyarakat kita. Ia amat unik dari segenap aspek dan karakteristiknya seperti rasa, bau dan tekstur yang terbukti sangat tersendiri. Bukan itu sahaja, raja buah ini juga boleh dijadikan intipati kepada penciptaan pelbagai lagi jenis makanan atau minuman yang lain, dan antara yang paling terkenal adalah tempoyak.
Mungkin ada yang suka dan mungkin ada yang tidak menggemarinya. Pun begitu, majoriti individu menyimpulkan bahawa ia adalah sedap dan sihat untuk di makan.
Apa itu tempoyak?
Tempoyak adalah sejenis makanan tradisi masyarakat Melayu yang diperbuat daripada isi buah durian. Secara umumnya, tempoyak merupakan isi durian yang telah diasingkan daripada bijinya dan ditambah dengan sedikit garam serta disimpan atau diperap selama beberapa hari di dalam suhu bilik untuk menjalani proses fermentasi.
Kebiasaannya, makanan tradisional ini sangat popular di Malaysia tidak di makan begitu sahaja tetapi dibuat sebagai sambal atau dicampurkan ke dalam masakan seperti gulai tempoyak atau patin tempoyak. Di negara kita, Pahang merupakan tuan rumah kepada masakan kegemaran orang ramai yang berasaskan durian, masakan yang terkenal di Malaysia adalah ikan patin masak tempoyak.
Makanan tradisional ini sebenarnya mempunyai banyak nama. Secara tradisinya, ia lebih dikenali sebagai “tempoyak” di kawasan Semenanjung Malaysia, Borneo, dan Selatan Sumatera seperti Jambi, Lampung dan Bengkulu. Manakala, ia turut dinamakan sebagai “pekasam” di kawan Aceh dan “asam durian” di Minangkabau. Nama-nama ini terhasil mungkin disebabkan oleh rasa masam yang wujud ekoran proses fermentasi dilakukan terhadapnya. Cara membuat makanan kegemaran ramai ini hanya memerlukan beberapa langkah yang mudah iaitu gunakan isi buah durian dan mencampurkannya dengan garam. Selepas itu, ia akan disimpan atau diperap selama 3 hingga 5 hari.
Sebagai antara makanan yang melalui proses fermentasi, ia akan melibatkan beberapa asid laktik bakteria yang pelbagai. Antara jenis bakteria yang biasa digunakan adalah Lactobacillus casei dan Lactobacillus rhamnosus subsp. Fersantum yang berfungsi menghalang atau membunuh pertumbuhan bakteria yang tidak baik seperti Escherichia coli yang mampu merosakkan buah ini lalu menyebabkannya busuk. Selain berfungsi sebagai makanan kegemaran ramai, ia juga biasa dijadikan sebagai bahan pengawet dan perasa makanan yang semula jadi. Penambahannya ke dalam kari atau sambal akan melahirkan aroma dan rasa yang unik ke dalam masakan.
Sejarah penemuannya boleh diimbau kembali sehingga abad ke-19. Makanan tradisional ini dikatakan pernah disebut di dalam Hikayat Abdullah sebagai makanan ruji masyarakat Melayu di Terengganu. Ketika Abdullah Abdul Kadir melawat negeri itu sekitar tahun 1836, beliau ada menyebutkan bahawa salah satu daripada makanan kegemaran rakyat di situ adalah tempoyak. Berdasarkan Hikayat Abdullah juga, ia adalah makanan yang bukan sahaja popular dalam kalangan etnik Melayu di Malaysia, malahan juga terkenal di Indonesia terutamanya kawasan Sumatera dan Kalimantan.
Khasiat tempoyak
Adakah makanan tradisional ini berkhasiat? Jawapannya, ya. Berikut adalah khasiat buah durian:
- Durian, sama seperti buah tropikal yang lain seperti pisang, nangka dan betik, adalah kaya dengan tenaga, mineral dan vitamin. Setiap 100 gram buah ini akan membawa lebih kurang 147 kalori.
- Buah ini mengandungi kandungan gula seperti fruktosa dan sukrosa yang akan membekalkan tenaga dan menyegarkan tubuh badan. Walaupun ia mengandungi amaun lemak yang tinggi berbanding buah yang lain, ia bebas daripada lemak tepu dan kolesterol.
- Buah ini kaya dengan serat yang sangat bagus untuk sistem penghadaman. Serat juga akan membantu melindungi mukus di dalam kolon dengan mengurangkan pendedahannya terhadap toksin. Ia dapat membantu menyingkirkan bahan kimia penyebab kanser daripada perut.
- Buah ini adalah sumber antioksidan vitamin C yang sangat baik dengan kira-kira 33% RDA. Pengambilan makanan yang kaya dengan vitamin C dapat membantu tubuh badan melawan agen infeksi dan juga radikal bebas yang sangat berbahaya.
- Buah ini adalah sumber vitamin B kompleks, yang merupakan fitur unik untuk buah seperti niacin, riboflavin, asid pantotenik (vitamin B5), pyridoxine (vitamin B6) dan thiamin (vitamin B1). Vitamin-vitamin ini adalah sangat penting untuk kesihatan tubuh badan kita.
- Buah ini mengandungi amaun mineral seperti mangan, tembaga, zat besi dan magnesium. Mangan diperlukan oleh tubuh badan untuk menghasilkan enzim antioksidan, superoxide dismutase (SOD). Tembaga diperlukan untuk penghasilan sel darah merah dan zat besi pula diperlukan untuk pembentukan sel darah merah (RBC).
- Buah ini yang masih segar sangat kaya dengan potasium. Ia adalah penting untuk menambahbaik elektrolit di dalam sel dan cecair tubuh badan sekali gus membantu mengawal tekanan darah dan degupan jantung.
- Buah ini juga mengandungi kadar asid amino penting yang tinggi, tryptophan atau lebih dikenali sebagai “ubat tidur semula jadi”. Ia akan menjadi serotonin dan melatonin melalui proses metabolisma yang merupakan dua neurokimia yang sangat penting dalam pengawalan perasaan gugup dan juga waktu tidur.