Aktiviti berkhemah antara hobi rekreasi yang menyeronokkan apatah lagi jika dapat dilakukan bersama keluarga. Selain dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan ia turut memberi ketenangan mental dan fizikal. Malah, berkhemah turut memupuk kesedaran untuk lebih menghargai keindahan alam semulajadi. Ia boleh dijadikan sebagai aktiviti terapi menghilangkan stres dan tekanan terutama di kala pandemik. Tetapi jika anda ingin melakukan di hutan atau tempat yang lebih mencabar, pilihlah tempat yang selamat, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan menepati citarasa para pencinta alam semulajadi.
Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan hobi ini, cuba lihat antara manfaat berkhemah.
Jadi lebih aktif
Aktiviti perkhemahan ini akan membuat anak-anak lebih aktif. Melakukan aktiviti perkhemahan seperti ini, memerlukan anda lebih aktif kerana kebanyakan kegiatan dilakukan adalah aktiviti di luar. Seperti mencari kayu, mendirikan khemah, menjelajahi alam, memancing, dan sebagainya. Aktiviti ini akan membuat anda dan anak-anak lebih aktif dan sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran dalam mencari sebarang penyelesaian sekiranya menghadapi sebarang masalah sewaktu berkhemah.
Tidur lebih nyenyak
Dengan udara yang segar dan nyaman akan memberikan tidur yang lebih bermanafaat. Dengan semua aktiviti berat yang dilakukan semasa berkhemah, akan membuatkan anak-anak cepat penat dan mengantuk. Ini akan mendorong mereka tidur dengan lebih nyenyak. Keadaan luar yang segar dan udara yang nyaman akan memberikan tidur yang lebih bermanafaat dengan fikiran yang lebih tajam serta positif.
Meredakan stres
Berada dalam kehidupan semulajadi, fikiran akan lebih damai dan tenang. Apabila berada di kehidupan semulajadi, fikiran akan lebih damai sekaligus menjadi terapi terbaik untuk meredakan stres atau tekanan. Meninggalkan semua teknologi seperti komputer atau telefon bimbit akan membantu merehatkan minda sambil menikmati keindahan alam.
Mengeratkan hubungan
Masa yag diluangkan dapat dihabiskan bersama keluarga sewaktu berkhemah akan menjadi momen paling indah untuk anda sekeluarga. Berkhemah sambil menghabiskan masa bersama keluarga menawarkan kesempatan untuk menjalin ikatan yang lebih erat yang sukar untuk anda alami apabila menghadapi rutin biasa. Di waktu ini, aktiviti yang dilakukan bersama-sama seperti membina khemah, bercerita dan memasak akan mengeratkan lagi kasih sayang sekeluarga. Saat ini adalah momen paling indah yang pasti akan diingat sampai bila-bila.
Mempelajari perkara baru
Anak-anak akan mempelajari mengenai tumbuh-tumbuhan dan haiwan di sekitar kawasan perkhemahan. Berkhemah menawarkan pelbagai ilmu baru kepada anak-anak. Misalnya mereka akan belajar cara mendirikan khemah, menyalakan unggun api, memasak dan lain-lain. Mereka turut belajar cara untuk meneruskan hidup walaupun mengalami kesukaran. Di samping itu, jika berkemah di hutan, anak-anak juga akan belajar mengenai tumbuh-tumbuhan dan haiwan di sekitar kawasan perkhemahan.
Lebih menghargai alam
Anak-anak akan lebih menghargai alam. Aktiviti berkhemah mengajar tentang kasih sayang terhadap alam sekitar. Anak-anak juga akan lebih menghargai alam dan akan terus menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata, menjaga sungai dan tidak melakukan pembakaran sewenangnya.