Selain pelbagai aneka makanan tradisional yang boleh anda cuba, terdapat juga pelbagai aneka kuih muih tradisional sebagai sajian dan santapan untuk anda pada waktu pagi atau petang. Kali ini admin fokuskan aneka kuih muih tradisional yang hanya berada di sekitar negeri Perak ini untuk anda merasa kuih muih yang tidak pernah anda cuba pun. Antara kuih muih tradisional yang terkenal di sekitar Perak ini adalah:
Penjan Ubi Kayu
Hidangan Penjan Ubi Kayu ini merupakan antara makanan tradisi Perak yang semakin dilupakan. Dahulunya, hidangan ini sering dimakan pada waktu petang. Sangat sedap dimakan bersama secawan kopi pekat. Penjan Ubi Kayu ini sangat mudah disediakan. Menggunakan ubi kayu, gula merah, tepung jagung, daun pandan dan air pastinya cukup menaikkan rasa hidangan ini. Ubi kayu direbus terlebih dahulu sebelum dicampur bersama bahan – bahan lain.
Kuih Kandas
Kuih Kandas ini bentuknya seakan-akan seperti cakoi namun walaupun nampak seperti sama tetapi rasanya sangat berbeza. Ia antara kuih warisan yang terkenal di negeri Perak, namun kuih ini semakin jarang ditemui. Kuih Kandas ini sering menjadi hidangan sarapan pagi berbanding kuih cakoi yang di makan pada waktu pagi dan petang. Penyediaan kuih ini juga agak berbeza di mana cakoi dicampurkan dengan telur atau marjerin, tetapi tidak kuih kandas. Biasanya cakoi dimakan bersama sekaya, namun kuih kandas ini dimakan bersama kuah kacang. Kuih kandas ini boleh didapati sekitar kawasan Karai, Padang Rengas, Kuala Kangsar serta daerah berhampiran.
Bubur Anak Lebah
Asal usul nama bubur anak lebah ini adalah kerana ketulan pepejal di dalam bubur ini berwarna putih serta bersaiz kecil seperti anak lebah. Ia sangat popular di kawasan Lenggong dan juga Kuala Kangsar. Biasanya hidangan ini disajikan sewaktu majlis berendoi atau majlis naik buaian untuk bayi baru lahir atau selepas pantang.
Bubur anak lebah ini turut mengalami era perubahan zaman di mana ia juga telah berubah warna, dari putih ke hijau yang menggunakan jus air pandan. Hidangan ini semakin dilupakan kerana pembuatannya agak remeh di mana pepejal atau ketulan di dalam bubur perlu direbus terlebih dahulu, ditos dan kemudiannya baru dimasukkan santan. Bubur anak lebah ini juga turut dijual di bazar Ramadhan dan sangat popular sehingga mendapat permintaan tinggi.
Kuih Cecemek
Kuih Cecemek ini sememangnya antara kuih tradisi Perak yang sudah kian hilang. Namun, masih terdapat generasi yang meneruskan pembuatan kuih ini. Kuih Cecemek kelihatan seperti kuih limas atau tepung pelita. Ia berbeza dari rupa bentuk yang terhasil di mana kuih berbentuk lubang – lubang kecil dan diletakkan di dalam daun pisang sebagai alas atau sampan Cecemek. Kuih ini diperbuat menggunakan tepung pulut, santan, gula dan garam yang dimasukkan ke dalam daun pisang dan dikukus selama 10 minit. Ia sangat popular di kawasan Kampung Gajah serta Pasir Salak, Perak.
Kuih Limas
Kuih Limas ini mempunyai dua lapisan iaitu putih di bahagian atas dan hijau pandan di bahagian bawah. Kuih ini dibuat menggunakan daun pisang yang dibentuk seperti bongkah sarung empat segi. Rasa kuih ini adalah lemak manis. Ia menggunakan santan, tepung gandum, garam dan gula serta air daun pandan. Ia dimasak secara kukus sahaja. Kuih Limas ini sering menjadi pilihan ramai semasa bulan Ramadhan kerana keenakkannya yang begitu terserlah.