Muzium Perak merupakan salah satu tempat menarik yang wajib dilawati jika anda berkunjung ke Taiping. Memang ada segelintir orang yang merasakan bahawa melawat muzium adalah aktiviti yang membosankan akan tetapi pasti anda tidak akan beranggapan sedemikan selepas melawat muzium ini.
Jika anda datang melawat pada musim cuti sekolah, muzium ini akan dipenuhi dengan rombongan sekolah dan ibubapa yang membawa anak-anak bercuti. Ini menunjukkan bahawa muzium yang dibina pada zaman penjajahan British dahulu sememang popular. Jadi pilih waktu yang bersesuaian mengikut keselesaan anda.
Muzium Perak merupakan institusi permuziuman yang tertua di negara ini. Bangunan ini telah dibina atas usaha Residen Perak ketika itu, Sir Hugh Low. Bangunan muzium ini dibina secara berperingkat. Terdapat tiga blok iaitu Blok A (blok utama) yang berhadapan dengan Jalan Taming Sari, manakala Blok B dan Blok C yang menghadap Jalan Muzium. Bangunan Blok A telah dibina pada tahun 1883 dan mula digunakan pada tahun 1886. Kesan daripada percambahan pembinaan bangunan Muzium Perak yang berperingkat-peringkat telah menjadikan rupa bentuk bangunan berbentuk ‘L’.
Seni bina bangunannya menerima pengaruh neo-classical berbentuk elemen-elemen simetri sebagaimana lazimnya bangunan-bangunan di Eropah. Keutamaan difokuskan pada tampak hadapan bangunan yang mempunyai porch. Keseimbangan pada setiap bahagian menegak dan melintang amat dititikberatkan. Ciri-ciri seni bina fasad muzium ini juga meminjam elemen-elemen seni bina zaman Greek klasik dan Roman seperti pediment, entablature dan motif kepala tiang.
Apa yang menarik tentang Muzium Perak di Taiping ialah harga tiketnya yang sangat berpatutan kerana bukan sahaja murah tetapi berbaloi kerana muzium ini mempunyai pameran artifek dan pelbagai tarikan yang ada disini. Di muzium Taiping ini adalah koleksi artifek yang dipamerkan termasuk koleksi yang jarang dilihat seperti spesis haiwan dan barangan tembikar yang berusia lebih daripada seratus tahun.
Sebelum masuk ke Muzium Perak lagi, pengunjung telah disajikan dengan pameran menarik dihalamannya. Disini terpampang dengan megah sebuah kapal terbang lama. Ia benar-benar menarik perhatian sesiapa sahaja yang datang kemari. Dibelakang kapal terbang lama, ada gerabak keretapi nombor 2 yang diperbuat dari kayu. Pada gerabak ini tertulis PERAK STATE RAILWAY.
Apabila anda melangkah masuk ke dalam Muzium Perak ini, ada ruang pameran yang luas. Di sini terdapat pertunjukan barangan logam pelbagai jenis yang diperbuat dari perak, tembaga dan lain-lain. Ia adalah barang-barang mewah yang digunakan oleh golongan bangsawan pada zaman dahulu dan sekarang.
Seterusnya pengunjung boleh ke ruang pameran haiwan liar. Di sini terdapat tulang rangka gajah, kuda, tapir dan lain-lain. Di samping itu, di sekeliling ruang pameran ini juga terdapat pelbagai jenis binatang yang di awet dan ia begitu menakjubkan.
Antara pameran yang ada di Muzium Perak ini adalah:
- Galeri Hidupan Laut
- Galeri Kebudayaan
- Galeri Orang Asli dan Tembikar
- Galeri Kenderaan Lama
- Galeri Kereta Api
Jika anda yang nak merasai pengalaman berkunjung ke Muzium Perak ini, anda boleh datang ke Muzium Perak ini. Selain kita melihat artifak dan barang-barang bersejarah ini, terdapat juga pelbagai kemudahan dan fasiliti untuk anda.