Negeri Perak memiliki pelbagai makanan tradisi yang boleh anda nikmati hingga hari ini. Jika berkunjung ke beberapa daerah sekitar negeri Perak, anda akan dapat menikmati pelbagai hidangan tradisi masyarakat setempat. Antara menu yang boleh anda cuba di negeri Perak adalah seperti yang tersenarai di sini.
Nasi Lemuni
Nasi Lemuni ini berwarna hitam dan dimasak menggunakan daun lemuni yang semakin sukar didapati masa kini. Hidangan ini biasanya menjadi menu hidangan wanita selepas bersalin dan semasa dalam pantang kerana ramuannya yang turut menggunakan lada hitam sangat bersesuaian. Nasi Lemuni ini boleh ditemui di sekitar Kuala Kangsar dan juga Lenggong terutamanya semasa bulan Ramadhan. Ia dimasak menggunakan air serta daun lemuni yang dikisar. Rasanya sedikit pedas dan dimakan bersama serunding kelapa. Ia juga enak dimakan bersama ikan masin yang digoreng panas. Ia juga sering dijadikan hidangan bagi wanita yang berpantang selepas bersalin.
Gulai Tempoyak
Gulai Tempoyak sememangnya enak sekali dimakan bersama nasi putih. Hidangan ini yang juga merupakan menu tradisi masyarakat Perak turut digemari ramai. Biarpun gulai tempoyak ini juga merupakan masakan tradisi Pahang, namun cara penyediaannya adalah berbeza. Gulai tempoyak Perak menggunakan pelbagai jenis ikan seperti ikan ikan patin, ikan keli, jelawat dan kembung. Cara penyediaan serta bahan yang digunakan juga sangat mudah. Ia terdiri dari tempoyak, cili merah atau cili padi, serai, serbuk kunyit atau kunyit hidup, timun, ikan, garam dan gula. Sekiranya tempoyak tidak cukup masam, boleh ditambah beberapa keping asam gelugur. Gulai tempoyak ini juga sering dijadikan hidangan sewaktu kenduri di kampung – kampung.
Pais Ikan Keramat
Pais Ikan Keramat (ikan bersaiz halus) ini antara hidangan popular masyarakat melayu Lenggong yang menetap berhampiran kawasan Sungai Perak. Hidangan ini biasanya disediakan oleh para nelayan semasa berada di sungai mahupun laut suatu ketika dahulu. Namun, kini hidangan pais ikan Keramat ini telah menjadi lauk harian semasa sarapan pagi mahupun makan tengahari. Ia sering menjadi pilihan kerana pais ikan ini tahan lama. Selain ikan, menu ini turut menggunakan belimbing buluh sebagai salah satu bahan masakan yang menjadikan ianya bertambah sedap. Masyarakat Lenggong juga turut menjadikan hidangan ini sebagai salah satu hidangan istimewa ketika majlis kenduri kecil – kecilan.
Dadar Telur Ikan Loma
Dadar Telur Ikan Loma ini biasanya menjadi bekalan makanan para nelayan dan para petani. Ia menggunakan telur ikan sungai iaitu ikan loma yang sememangnya semakin sukar didapati pada masa kini. Hidangan ini boleh disimpan lama sehingga berminggu – minggu. Oleh sebab itu ia sangat digemari oleh para nelayan dan petani kerana tidak perlu memasaknya setiap hari. Hidangan ini juga hanya boleh ditemui di kawasan Lenggong sahaja kerana hanya masyarakat di sini yang masih menghasilkan hidangan ini. Bahan – bahan yang digunakan juga begitu ringkas seperti telur ikan, bawang merah, kunyit hidup, cili padi, daun kesum, asam jawa dan juga garam.
Kebebe
Kebebe ini memiliki rasa masam, manis, pedas, masin dan juga kelat. Ia juga terasa seperti rojak buah kerana campuran rasa yang berbagai. Kebebe ini juga yang sesuai sebagai pembuka selera merupakan makanan tradisi masyarakat keturunan Patani yang berada di Lenggong, Perak.
Bahan – bahan untuk menghasilkan kebebe ini juga begitu mudah kerana bahan – bahannya boleh didapati dari sekitar kawasan rumah sahaja. Antaranya adalah kulit putik nangka, jantung pisang, nanas, putik jambu batu, cermai, belimbing buluh, buah kelempung, buah cedung, memban kelapa (isi kelapa yang masih lembut), cili padi, gula, garam dan belacan sebagai penambah perisa. Ia akan ditumbuk sehingga separuh lumat sahaja menggunakan lesung kayu. Kebebe ini juga turut dikenali dengan nama ‘bicuk’ sering menjadi kudapan semasa majlis gotong – royong kenduri kendara.
Bagi menghilangkan bau kelapa goreng dan kesan minyak, pelbagai putik buah hutan akan dimasukkan ke dalam lesung kayu yang melekat dengan sisa kerisik tersebut. Sambil menumbuk, bersembang dan membebel, terhasil lah kebebe. Setelah selesai, ia akan dimakan beramai – ramai.
Daging Masak Hitam
Daging Masak Hitam ini merupakan hidangan turun temurun masyarakat Melayu Lenggong yang berada di daerah Hulu Perak. Dahulunya, hidangan ini sering dijadikan salah satu menu semasa majlis perkahwinan atau dihidangkan kepada para pembesar dan tetamu istimewa sahaja. Hidangan ini biasanya menggunakan daging lembu, namun ia juga boleh digantikan dengan daging kerbau, kambing ataupun ayam.









