Selain menghidangkan seni bina berkurun usia, sejarah dan latar belakang, yang mencipta identiti sesebuah rumah ibadat, ia juga tidak pernah gagal memikat pelancong untuk menyelongkar, meneroka seterusnya menghayati tamadun yang dipersembahkan. Tujuannya adalah untuk menyelami keunikan seni bina yang sebahagian besarnya di bina pada abad ke-19
Mempertaruhkan elemen arkitektur Islam dengan asimilasi Cina, India, Arab, British dan Sepanyol, enam masjid yang disenaraikan itu ialah Masjid Dato Panglima Kinta dibina pada tahun 1898, Masjid India Muslim (1908), Masjid Kampung Paloh (1912), Masjid Pakistani (1930), Masjid Sultan Idris Shah II (1968) dan Masjid Muhammadiah atau dikenali sebagai Masjid Cina selain Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, yang dibina pada 1917 dan Masjid Ihsaniah Iskandariah Kampung Kuala Dal di Padang Rengas (1938).
Masjid India Muslim
Pemilik kilang ais, Kinta Ice Works merangkap pengurus syarikat minuman ringan Lonta Aerated Water di Taiping, Kampar dan Jalan Stesen, Ipoh berketurunan India Muslim, Shaik Adam Ghaus. Beliau membina masjid India Muslim ini pada tahun 1908 berikutan perselisihan faham dengan orang Melayu. Masjid India Muslim ini turut dikenali sebagai Masjid Padang Ipoh, masjid ini terletak di Jalan S P Seenivasagam yang mempraktikkan seni bina Mughal mirip kubu pertahanan Diwanikhas di Delhi, India dengan menggunakan khidmat pekerja mahir dari India.
Sebelah bahagian masjid ini dilengkapi enam gerbang yang berukir di kepalanya, manakala bahagian hadapan masjid menawarkan lima gerbang lagi. Dua menara runcing mengapit binaan melengkung separa bulat dihiasi ukiran menyerlahkan lagi daya tarikan masjid diselubungi cat putih disulami hijau. Masjid India Muslim ini disenaraikan sebagai Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.