Masjid Raja Lenggong Perak merupakan masjid kedua tertua di Malaysia selepas Masjid Runtuh di Melaka pada Abad ke-15. Masjid Raja Lenggong Perak berusia 480 tahun. Mengikut sejarah, kampung tersebut diteroka oleh dua orang adik beradik iaitu Tun Saban dan Tun Puteh. Mereka merupakan anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perak.
Masjid Raja dibina selepas diperintahkan oleh Sultan Muzzaffar Shah 1 yang menitahkan supaya semua kampung di Perak, termasuk wilayah tadbir Tun Saban dan Tok Temong perlu didirikan masjid.
Tun Saban dan Tun Puteh membina masjid yang pertama di kampung itu, pada 1539, iaitu dikenali sebagai Masjid Raja yang siap sepenuhnya pada tahun 1541. Masjid Raja kini berusia 480 tahun dibina pada zaman Sultan Perak 1, Sultan Muzzaffar Shah ysng masih kukuh sehingga kini bangunannya selepas tiga kali dibaik pulih. Sultan Muzzaffar Shah 1 adalah salah seorang putera Sultan Mahmud Shah yang berundur selepas kejatuhan Melaka kepada Portugis dan ditabal sebagai Sultan di Kampar, Indonesia.
Kisah pembinaan masjid itu ada nilai sejarahnya membabitkan Kerajaan Islam Melaka dan permulaan Kerajaan Perak yang menarik dikunjungi dan ditelusuri kronologinya. Pembinaan masjid bercirikan reka bentuk Melayu, Riau, Sumatra, Minangkabau, Deli dan Langkap. Masjid Raja ini masih utuh di sebelah Masjid al-Rahmaniah yang digunakan sehingga sekarang ini.
Sepanjang tiga kali pembinaan semula bagi memperbaiki segala kerosakkan yang ada di Masjid Raja tidak menjejaskan bentuk asal Masjid Raja tersebut. Bagi anda yang singgah untuk bercuti di kawasan Lenggong Perak, Jangan lupa untuk lawati Masjid Raja ini untuk mengambil kesempatan menunaikan solat dan menziarahi masjid yang penuh bersejarah ini.