British memerlukan sistem pengangkutan dan perhubungan yang cekap dan pantas bagi tujuan untuk membawa hasil ekonomi terutama bijih timah dan getah ke pelabuhan untuk dieksport. Pengangkutan yang diperlukan adalah seperti landasan kereta api dan jalan raya manakala perhubungan seperti perkhidmatan pos, telegraf dan telefon.
Perkembangan Landasan Kereta api
Perkhidmatan kereta api mula diperkenalkan di Tanah Melayu akhir kurun ke-19. Terdapat tiga fasa perkembangan iaitu:
Fasa Pertama (1885-1896)
Landasan kereta api dibina untuk keperluan perlombongan bijih timah. Landasan yang pendek dibina bagi menghubungkan kawasan lombong dengan pelabuhan. Tujuan landasan kereta api ini ddibina bagi memudahkan bijih tima dieksport. Antara landasan kereta api yang dibina ialah:
- Taiping ke Port Weld (Kuala Sepetang
- Kuala Lumpur ke Port Swettenham (Pelabuhan Klang)
- Seremban ke Port Dickson
- Ipoh dan batu Gajah ke Teluk Anson (Teluk Intan)
Pada tahun 1886 landasan kereta api dari Kuala Lumpur ke Klang telah dirasmikan oleh Sultan Abdul Samad dan Frederick Weld, Gabenor Negeri-Negeri Selat.
Fasa Kedua (1897-1909)
Landasan kereta api dinaiktaraf untuk menghubungkan kawasan utara dengan selatan apabila Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan bagi memenuhi keperluan ekonomi seperti bijih timah dan getah yang semakin berkembang pesat serta memudahkan pentadbiran British.
Pada tahun 1903 kereta api Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan yang kini dikenali sebagai Kereta Api Tanah Melayu Berhad – KTMB
Fasa Ketiga (1910-1931)
Pembinaan landasan kereta api dibesarkan lagi selepas British berjaya memperluaskan pengaruhnya di negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dimana tujuannya adalah untuk menghubungkan seluruh Tanah Melayu kecuali hanya Terengganu yang tiada landasan kereta api. Selain itu, landasan kereta api ini dijadikan sebagai pengangkutan awam bagi penduduk Tanah Melayu serta memenuhi keperluan ekonomi dan pentadbiran British.